Perhatian antarabangsa telah beralih daripada krisis yang bergerak perlahan di Laut China Selatan di sepanjang tempoh tahun 2017, tetapi situasi di perairan belum kekal statik. Semasa mengusahakan bantuan diplomatik kepada jiran Asia Tenggaranya, Beijing meneruskan aktiviti pembinaan yang ketara di atas kotakara dwi penggunaan di Kepulauan Spratly dan Paracel. China menyelesaikan operasi pengorekan dan penimbusan tanah untuk mewujudkan tujuh pulau baharu di Spratly pada awal tahun 2016, dan kelihatannya telah menamatkan operasi tersebut untuk meluaskan pulau-pulau kecil di Paracel pada pertengahan tahun 2017, Tetapi Beijing kekal komited untuk meneruskan fasa pembinaannya yang seterusnya—pembinaan infrastruktur yang diperlukan untuk pangkalan tentera udara dan laut yang berfungsi sepenuhnya di atas kotakara yang lebih besar.

AMTI telah mengenal pasti semua kemudahan kekal yang telah China selesaikan atau mulakan kerja sejak permulaan tahun ini. Ini termasuk bangunan-bangunan yang terdiri daripada kawasan penyimpanan bawah tanah dan bangunan pentadbiran kepada tata susunan radar dan sensor yang besar. Kemudahan ini meliputi 72 ekar atau 290,000 meter persegi, hartanah baru di Terumbu Fiery Cross, Subi dan Mischief di Spratly, dan Kepulauan Utara, Tree dan Triton di Paracel. Ini tidak termasuk struktur sementara seperti kontena penyimpanan atau kilang simen, atau kerja lain selain pembinaan, seperti penyebaran tanah dan penanaman rumput di kotakara baru berikut.

Terumbu Fiery Cross

Fiery Cross menyaksikan pembinaan yang paling banyak di sepanjang tahun 2017, dengan kerja-kerja membina bangunan yang meliputi 27 ekar, atau kira-kira 110,000 meter persegi. Ini mengambil kira kerja yang didokumenkan sebelum ini oleh AMTI, termasuk penyempurnaan hangar yang lebih besar di sepanjang landasan udara, kerja-kerja membina struktur bawah tanah yang besar di selatan pulau kemungkinannya bertujuan untuk menempatkan senjata atau bahan asas lain, tatasusunan komunikasi/sensor besar di hujung timur laut pulau, pelbagai kemudahan radar/komunikasi berkembang di sekitar pulau tersebut, dan lindungan keras untuk platform misil di bahagian selatannya.

Terowong-terowong bawah tanah besar yang AMTI telah kenal pasti pada awal tahun ini yang besar kemungkinannya untuk penyimpanan senjata dan penyimpanan lain telah siap sepenuhnya. Mereka bergabung dengan struktur bawah tanah lain yang dibina sebelum ini di pulau tersebut, yang termasuk penyimpanan air dan bahan api.

Selain daripada kerja-kerja sebelum ini yang telah dikenal pasti di Fiery Cross, dalam tempoh beberapa bulan yang lalu. China telah membina sesuatu yang kelihatan sebagai sebuah tatasusunan radar berfrekuensi tinggi di bahagian utara pulau tersebut. Struktur tersebut mempunyai beberapa tiang tegak, serupa dengan tiang-tiang yang didirikan di Terumbu Cuarteron pada tahun 2015. Radar berfrekuensi tinggi ini terletak di sebelah tatasusunan komunikasi/sensor besar yang telah selesai dibina pada awal tahun (lapangan radom dalam imej di bawah).

 

Terumbu Subi

Terumbu Subi juga menyaksikan banyak aktiviti pembinaan pada tahun 2017, dengan kerja-kerja pembinaan yang meliputi kira-kira 24 ekar, atau 95,000 meter persegi. Ini termasuk kemudahan penyimpanan bawah tanah serupa dengan kemudahan di Fiery Cross, serta hangar, lindungan misil, kemudahan radar/komunikasi, dan tatasusunan antena “elephant cage” berfrekuensi tinggi untuk risikan isyarat yang telah dikenal pasti sebelum ini di bahagian barat daya pulau tersebut.

Seperti di Fiery Cross, terowong-terowong penyimpanan baru di Subi telah selesai dan ditimbus beberapa bulan yang lalu. Terowong ini bergabung dengan struktur-struktur lain yang ditimbus di pulau ini, termasuk kemudahan penyimpanan yang besar di bahagian utara.

China bersedia untuk meningkatkan lagi kemampuan radar dan risikan isyaratnya di Terumbu Subi. Sejak pertengahan tahun, China telah membina apa yang kelihatan seperti “elephant cage” kedua yang kurang 500 meter ke barat dari struktur yang pertama, serta tatasusunan radom di bahagian selatan kotakara itu yang kelihatan serupa dengan, atau lebih kecil, daripada struktur di Terumbu Fiery Cross.

 

Terumbu Mischief

Pembinaan tahun ini telah dijalankan ke atas bangunan-bangunan yang meliputi 17 ekar, atau 68,500 meter persegi, di Terumbu Mischief. Seperti di Fiery Cross dan Subi, ini termasuk penyimpanan bawah tanah untuk senjata dan bahan lain, penyempurnaan hangar dan lindungan misil, dan tatasusunan radar dan komunikasi yang baru.

Terowong penyimpanan baru di Mischief telah selesai dalam tempoh beberapa bulan yang lalu dan telah ditimbus, seterusnya bergabung dengan struktur bawah tanah di sebelah utara yang telah dibina sebelum ini.

Selain daripada struktur-struktur yang telah dikenal pasti sebelum ini, China telah mula menjalankan kerja-kerja terhadap tatasusunan radar/komunikasi yang baru di sebelah bahagian utara kotakara itu.

 

China tetap meneruskan pembinaan, meskipun pada skala yang lebih kecil, di pangkalannya di Kepulauan Paracel. Pembinaan yang paling ketara pada tahun 2017 adalah di Pulau North, Tree dan Triton.

 

Pulau Tree

Seperti di Pulau North, kerja-kerja pengorekan dan penebusgunaan di Pulau Tree diteruskan selewat pertengahan tahun 2017. Secara keseluruhannya, China telah membina kemudahan yang meliputi lebih kurang 1.7 ekar atau 6,800 meter persegi, daripada pulau tersebut. Ini termasuk sebuah helipad baru bersebelahan dengan pelabuhannya dan tatasusunan solar dan sepasang turbin angin di persisiran utara pulau tersebut.

 

Pulau North

China sebelum ini telah cuba untuk menghubungkan Pulau North dengan Pulau Middle yang bersebelahan, tetapi menghentikan projek itu selepas jambatan yang dibina telah dihanyutkan oleh ribut pada bulan Oktober 2016. Pada awal tahun ini, China telah membina benteng di sekeliling tanah yang ditebusguna di bahagian selatan Pulau North dan membina sebuah bangunan pentadbiran yang besar di kawasan ini.

 

Pulau Triton

Pulau Triton menyaksikan penyiapan beberapa bangunan pada tahun ini, termasuk dua menara radar yang besar dan khususnya teramat penting memandangkan ia terletak di kawasan barat daya Paracel dan perairan di sekitarnya telah menjadi tapak beberapa insiden antara China dan Vietnam, serta beberapa operasi kebebasan navigasi A.S.

 

Pulau Woody

Pulau Woody ialah markas tentera dan pentadbiran China di Laut China Selatan. Pembangunan di Woody biasanya adalah petanda awal pembangunan di Fiery Cross, Subi dan Mischief di Spratly. Tiada banyak pembinaan baru di pulau itu pada tahun ini, tetapi dua pengerahan udara pertama kali telah dikesan yang memberi petanda kemungkinan masa hadapan di ketiga-tiga pangkalan udara Pulau Spratly di bahagian selatannya.

Pertama, pada akhir bulan Oktober, ketenteraan China telah mengeluarkan imej yang menunjukkan pesawat pejuang J-11B Angkatan Udara Tentera Pembebasan Rakyat telah dikerahkan ke Pulau Woody untuk latihan. Ini merupakan pengerahan pertama J-11 ke Woody yang disahkan. Pengerahan sebelum ini ke pulau tersebut melibatkan Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat J-10 yang tidak semaju, yang telah digunakan oleh AMTI sebagai asas—mungkin dengan cara yang terlalu konservatif—untuk menganggarkan kemampuan projeksi kuasa pangkalan Laut China Selatannya.

Kemudian pada 15 November, AMTI telah mengesan beberapa pesawat besar yang kelihatan seperti pesawat pengangkutan Y-8, yang mengikut konfigurasi tertentu mampu mengumpulkan risikan elektronik. Sebelum ini, AMTI telah mengesan bahawa hangar yang lebih besar telah dibina di setiap pangkalan udara Spratly yang boleh menempatkan Y-8, yang menunjukkan kehadiran pesawat itu di Woody menjadi petanda kepada perkara-perkara yang mungkin akan berlaku pada masa akan datang.