Selepas kemerosotan aktiviti yang mendadak dari tahun 2016 hingga ke penghujung tahun 2018, armada penangkapan kepah China telah kembali ke Laut China Selatan dengan sepenuhnya sejak enam bulan yang lalu. Armada ini, yang biasanya merangkumi berdozen-dozen kapal nelayan kecil yang diiringi oleh beberapa “kapal induk” yang lebih besar, telah memusnahkan kawasan terumbu karang yang luas bagi mengekstrak kepah gergasi yang terancam. Cangkerang kepah tersebut kemudian dibawa balik ke Wilayah Hainan di mana mereka memperoleh beribu-ribu dolar bagi setiap satu kepah dalam pasaran barangan kemas dan seni patung yang berkembang pesat. Sejak tahun 2018, imejan satelit menunjukkan bahawa armada ini kerap beroperasi di Gosong Scarborough dan merentas Kepulauan Paracel, termasuk Terumbu Bombay.
Dari tahun 2012 hingga 2015, para penangkap kepah China telah merosakkan atau memusnahkan sekurang-kurangnya 28 terumbu yang merentasi Laut China Selatan, seperti yang didokumenkan oleh Victor Robert Lee. Kaedah yang biasa digunakan oleh para penyeludup ini ialah dengan melabuhkan bot mereka dan kemudian menyeret alatan yang telah dikukuhkan ke enjin sangkutnya di sepanjang permukaan terumbu bagi memecahkan batu karang, agar memudahkan kepah untuk diangkat. Kesan ekologinya adalah sangat dahsyat dan akibatnya, pada bulan Julai 2016, tribunal timbang tara yang memerintah kes yang dikemukakan terhadap Beijing oleh Manila mendapati bahawa China telah melanggar kewajipannya mengikut undang-undang antarabangsa untuk melindungi alam sekitar marin. John McManus dari University of Miami, yang telah mengemukakan testimoni pakarnya kepada tribunal tersebut, telah mendokumenkan lebih daripada 25,000 ekar kerosakan pada permukaan terumbu cetek akibat daripada pengekstrakan kepah oleh China pada tahun 2016 (berbanding kira-kira 15,000 ekar yang rosak akibat aktiviti pengorekan dan penebusgunaan tanah bagi mewujudkan kepulauan buatan China).
Kepulauan Paracel
Kini, seperti dahulu, pihak berkuasa China telah termaklum dan kelihatan seperti tidak mempedulikan aktiviti armada ini. Imejan satelit menunjukkan bahawa bot-bot penangkapan kepah telah kerap beroperasi di Terumbu Bombay di Kepulauan Paracel sejak akhir tahun 2018, seperti yang terbukti dengan jelas oleh gumpalan endapan yang kelihatan dalam imejan dari 11 April. Gumpalan tersebut, bersama-sama dengan kesan kerosakan yang meliputi seluruh permukaan terumbu, adalah tanda-tanda kaedah pengorekan yang menggunakan alat yang digunakan semasa fasa awal penangkapan kepah. Dan ini terus berlaku meskipun setelah China memasang “E-Stesen Samudera” di Terumbu Bombay pada bulan Julai lalu. Keupayaan pengawasan yang didokumenkan bagi platform ini menunjukkan bahawa stesen itu telah menghantar maklumat mengenai semua aktiviti berhampiran dengan terumbu tersebut kepada pihak berkuasa China di Kepulauan Paracel, namun aktiviti penangkapan kepah masih berterusan.
Di kawasan lain di Kepulauan Paracel, kerosakan daripada penangkapan kepah baru-baru ini kelihatan di Passu Keah. Terumbu itu tidak menunjukkan kerosakan yang jelas dalam imejan yang dikumpulkan pada bulan Februari 2018 tetapi pada bulan November, kawasan tersebut telah dipenuhi dengan tanda-tanda yang ditinggalkan oleh alat penangkap tersebut.
Gosong Scarborough
Bot-bot kepah juga telah kembali ke Gosong Scarborough, yang merupakan sebuah isu yang sangat sensitif dalam hubungan Sino-Filipina. Terumbu di situ telah rosak dengan teruk akibat daripada penangkapan kepah fasa awal sehingga tahun 2016. Tetapi imejan dari bulan Disember 2018 mendedahkan kepulangan bot-bot kepah dalam bilangan yang besar.
Perbandingan imejan dari bulan Disember dan Mac juga mendedahkan kerosakan baru pada terumbu tersebut akibat daripada aktiviti pengekstrakan baru-baru ini.
Walaubagaimanapun, Gosong Scarborough turut menawarkan bukti pertama penggunaan kaedah yang berbeza bagi penangkapan kepah dari permukaan terumbu yang lebih dalam yang tidak tercapai oleh alatan. Apabila kakitangan akhbar ABS-CBN di Filipina ke Scarborough pada bulan April, mereka telah merakamkan bot-bot China menggunakan tiub yang disangkutkan pada enjin bot mereka bagi mengekstrak kepah. Ia dianggap oleh nelayan setempat sebagai amalan yang sangat memusnahkan sehingga menyebabkan enapan terapung-apung di seluruh perairan yang berdekatan. Ini kelihatan seperti sebuah penyesuaian taktik yang digunakan oleh penyelamat di mana pam air bertekanan tinggi mewujudkan kuasa sedutan yang cukup kuat untuk mengeluarkan enapan dari dasar laut dengan cepat. Dan sebagaimana di Terumbu Bombay, adalah jelas bahawa pihak berkuasa China telah termaklum dan membiarkan amalan memusnahkan alam sekitar ini berterusan. Pengawal Pantai China mengekalkan kehadiran yang berterusan di Scarborough dan telah dirakamkan oleh ABS-CBN mengunjungi kapal-kapal penangkapan kepah tersebut.
Kakitangan ABS-CBN juga telah dapat merakamkan timbunan besar kepah yang diekstrak yang telah ditandakan dan ditempatkan di seluruh terumbu untuk diambil kemudian oleh penyeludup China. Imejan satelit dari bulan Mac menunjukkan timbunan ini, yang boleh dilihat sebagai titik-titik putih tidak sekata bertaburan di sekitar terumbu, yang tidak kelihatan dalam imej yang terdahulu.
Kepulauan Spratly
AMTI belum menemui bukti jelas penangkapan baru kepah di Kepulauan Spratly. Tetapi pada 7 April, semasa tempoh yang sama kapal militia maritim China sedang berkelompok di sekitar Pulau Loaita dan Kai Loita yang diduduki oleh Filipina, sebuah kapal induk dan beberapa bot kecil didapati berada di Kai Lankiam yang berdekatan. Kapal induk tersebut berukuran 20 meter panjang manakala kapal-kapal yang kelihatan di Terumbu Bombay biasanya hampir 30 meter tetapi bot-bot yang lebih kecil mempunyai dimensi yang agak sama.
Ketiadaan kerosakan baru di Kai Lankiam selepas bot tersebut berlepas, sebelum ini akan menunjukkan bahawa tiada aktiviti penangkapan kepah telah berlaku. Tetapi kaedah baru yang digunakan untuk mengekstrak kepah di Gosong Scarborough menunjukkan bahawa usaha untuk mendokumenkan aktiviti armada China ini telah menjadi lebih sukar. Tidak seperti kerosakan oleh alatan di permukaan terumbu cetek, kemusnahan akibat tekanan tinggi pam air yang digunakan di perairan dalam tidak begitu dapat dilihat di dalam imejan satelit. Ini bermakna bagi setiap operasi penangkapan kepah yang didokumenkan di Laut China Selatan, yang lainnya tidak akan dapat dikesan. Tetapi dengan puluhan ribu ekar permukaan terumbu yang telah dirosakkan atau dimusnahkan dan stok ikan yang nyaris kehabisan, kesan pemusnahan alam sekitar marin yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya akan dirasai di seluruh rantau.