Vietnam meneruskan perluasan sederhana ke kota-kota karanya di Kepulauan Spratly, yang terkini di Terumbu Ladd. Imejan satelit dari bulan Mac dan Jun menunjukkan bahawa Hanoi telah mengorek sebuah saluran baru, yang tidak muncul dalam foto-foto lama, dan sedang meluaskan satu daripada dua kemudahannya (yang lain adalah sebuah rumah api kecil di sebelah barat) di ciri tersebut.
Imej dari 18 Mac mendedahkan sebuah saluran yang baru dikorek melalui pinggir selatan terumbu tersebut, dengan sebuah tongkang dan dua kapal besar (kira-kira 160 kaki) di utara muara laluan masuk baru ke dalam lagun. Sekurang-kurangnya 21 kapal kecil, semuanya kelihatan seperti bot nelayan Vietnam, berada di dalam lagun itu.
Apabila dilihat dengan lebih dekat, tongkang tersebut menunjukkan dua buah peralatan pembinaan, berkemungkinan pengorek kaut atau backhoe, yang memunggahkan endapan ke dalam kapal yang menunggu setelah mengautnya dari dasar laut. Kaedah pengorekan ini ialah kerja yang biasa dilakukan oleh Vietnam di beberapa ciri lain yang didudukinya. Filipina juga telah memulakan kerja yang serupa pada kemudahannya di Pulau Thitu. Sebaliknya, China biasanya menggunakan pengorek pemotong sedutan di Laut China Selatan, yang boleh memindahkan endapan jauh lebih cepat, tetapi pada kos persekitaran yang tinggi.
Imej bulan Mac juga menunjukkan bahawa sesetengah endapan yang dikorek kelihatannya telah diletakkan di sebelah kota kara kecil Vietnam di hujung utara Terumbu Ladd.
Imej lebih terkini yang diambil pada 3 Jun mendedahkan bahawa Vietnam sedang meluaskan kota kara utaranya, dibangunkan di atas endapan dari saluran yang dikorek. Tongkang tersebut diikat di samping tapak pembinaan, dua kapal besar kelihatan di hujung utara saluran itu, dan kira-kira 80 kapal kecil, kedua-duanya di dalam dan di luar lagun itu. Kebanyakannya, jika bukan semua, kelihatan seperti bot-bot nelayan Vietnam.
Pembinaan baru tersebut melibatkan pemasangan sebuah platform berbentuk heksagon yang kira-kira 100 kaki panjangnya. Sekurang-kuranya satu alat pembinaan, berkemungkinan sebuah pengorek kaut, baru-baru ini telah meletakkan endapan di sebelah platform ini. Struktur baru ini kelihatan serupa dengan perluasan yang dibina di atas empat kemudahan ala kubu kecil lain Vietnam di Spratly, di Terumbu Collin, Lansdowne, Tennent, dan Discovery Great sejak tahun kebelakangan ini. Seperti perluasan tersebut, bangunan baru di Ladd dijangka akan dihubungkan ke kota kara yang sedia ada dengan sebatang jambatan.
Dengan pembinaan baru di Terumbu Ladd, Vietnam telah melakukan naik taraf sederhana pada 21 daripada 49 kota karanya di Spratly sejak tahun kebelakangan ini. Keputusan untuk meluaskan jejak langkahnya di Terumbu Ladd, termasuk sebuah saluran baru untuk memudahkan pembekalan semula dan membolehkan kapal yang lebih besar untuk berlindung di dalam lagun, menjadi tumpuan berdasarkan kejadian baru-baru ini. Terumbu Ladd terletak di bahagian paling barat dari batuan dan terumbu yang ada di Spratly. Ke sebelah barat daya terdapat beberapa tebing di bawah permukaan air yang China mendakwa sebagai sebahagian daripada kumpulan pulau itu meskipun ia berada di bawah air, termasuk blok minyak dan gas Vietnam yang telah menjadi tumpuan beberapa pertelingkahan profil tinggi antara Beijing dan Hanoi sejak tahun lalu. Vietnam, Amerika Syarikat dan kebanyakan komuniti antarabangsa menganggap kawasan itu sebagai sekeping pelantar benea milik Hanoi, tetapi China menuntut “hak bersejarah” yang tidak jelas definisinya sebagai sebahagian daripada tuntutan “sembilan garis putus-putus” kepada sebahagian besar Laut China Selatan.
Vietnam telah membina beberapa platform kecil, yang dipanggil “stesen perkhidmatan ekonomi, saintifik dan teknologi,” di tebing bawah laut di kawasan tersebut pada tahun 1980an dan 1990an. Meskipun penaikan taraf baru-baru ini, kemudahan tersebut sangat mudah terdedah pada bahaya dan dilaporkan diancam oleh Beijing sebagai sebahagian daripada kempennya untuk memaksa Hanoi supaya meninggalkan pengusahaan minyak dan gas di Blok 136 pada tahun lalu. Ini mungkin menawarkan satu motif kepada keputusan Hanoi untuk meningkatkan jejak langkahnya di Terumbu Ladd yang berhampiran, yang boleh terbukti berharga sebagai landasan pementasan untuk kapal yang meronda kota kara dan sumber asli di asia tenggara.
Kerja pembinaan di Terumbu Ladd juga mengetengahkan sebuah aspek baru dan penting mengenai doktrin ketenteraan Vietnam di Laut China Selatan: penggunaan kapal nelayan sebagai pasukan ketenteraan. China menggunakan ketenteraan maritim yang terdiri daripada nelayan-nelayan dari wilayah persisiran pantainya untuk mengukuhkan lagi kehadirannya dan operasi sokongannya di kawasan perairan bersengketa tanpa menimbulkan tindak-balas ketenteraan dari pihak lain. Vietnam telah menyedari akan kesukaran berhadapan dengan ketenteraan seperti itu semasa pertelingkahan tahun 2014 mengenai pengerahan sebuah pelantar minyak oleh China ke perairan bersengketa, apabila kapal-kapal nelayan China dipanggil untuk melindungi operasi pelantar minyak. Sebagai tindak balas, Vietnam telah merekrut nelayannya sendiri untuk bertindak dalam kapasiti yang sama, walaupun setakat ini mereka kurang aktif bila dibandingkan dengan pihak China. Dalam keadaan ini, bilangan besar kapal nelayan yang terdapat di Terumbu Ladd di sepanjang proses pembinaan membuktikan bahawa mereka mungkin menawarkan perlindungan dan sokongan dalam kapasiti ketenteraan yang rasmi.