Kapal Pengawal Pantai China (CCG) mengekalkan kehadiran hampir-tetap di gugusan Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum (Luconia Shoals) di pantai negeri Sarawak, Malaysia. Fakta yang tidak menyenangkan ini tidak menarik banyak perhatian, sama ada di Malaysia atau media antarabangsa, namun ini menunjukkan kesungguhan Beijing untuk mewujudkan kawalan pentadbiran di sepanjang sembilan garis putus-putus. Terumbu-terumbu tersebut terletak di antara Kepulauan Spratly yang hangat menjadi rebutan di sebelah utara dan Beting Serupai (James Shoal), yang China kerap memanggil sebagai jajahannya paling selatan, di sebelah selatan. Seperti Beting Serupai, Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum berada di bawah permukaan air ketika air pasang, justeru beting ini tidak boleh dituntut sebagai jajahan dan merangkumi sebahagian daripada pentas benua Malaysia.
Pada bulan September 2013, sebuah kapal CCG melabuhkan sauh di Beting Patinggi Ali dan dilaporkan tidak meninggalkannya sehingga akhir bulan November 2015, sebaik sahaja sebelum Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN dan Asia Timur tahun tersebut. Pada waktu itu, kehadiran CCG di beting tersebut telah menimbulkan pembicaraan di Parlimen Malaysia dan aduan berulang daripada pegawai kerajaan—seorang menteri dalam Jabatan Perdana Menteri bahkan menyiarkan foto udara kapal tersebut di Facebook pada bulan Jun 2015, membangkitkan kemarahan. Namun dengan pemunduran CCG sebelum Sidang Kemuncak ASEAN Kuala Lumpur dan kemudiannya jangkauan Perdana Menteri Najib Razak ke Beijing, isu ini kebanyakannya hilang daripada wacana umum di Malaysia.
Malangnya, pemunduran CCG pada akhir tahun 2015 hanyalah sebentar. Dengan kerjasama dengan Pusat Kajian Pertahanan Termaju (C4ADS), AMTI telah memantau pergerakan kapal-kapal di sekitar Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum menggunakan data dan analitik unik C4ADS.
Peta di bawah menunjukkan pergerakan CCG dan kapal kerajaan Malaysia di beting tersebut sepanjang tempoh 60 hari, daripada hujung bulan Disember 2016 hingga akhir bulan Februari 2017. Rakaman ini boleh dihentikan dan gelangsarnya dimanipulasi secara manual untuk meneroka lokasi kapal pada mana-mana tarikh tertentu. Peta ini juga boleh dizum masuk atau keluar dan objek individu boleh disentuh untuk mendapatkan maklumat lanjut. Dalam sesetengah kes, kapal yang sama mungkin kelihatan lebih daripada sekali pada peta ini, menunjukkan bahawa isyarat transpondernya diterima lebih daripada sekali semasa tempoh yang ditunjukkan.
Enam puluh hari ini menunjukkan kehadiran hampir-tetap kapal-kapal CCG di Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum. Zhongguo Haijing 3306 telah meronda sehingga sekurang-kurangnya 6 Januari dan telah digantikan oleh Zhongguo Haijing 3501 pada 12 Januari. Kapal tersebut meronda sehingga lebih kurang 3 Februari dan telah digantikan oleh Zhongguo Haijing 3402 pada 15 Februari. Ketika itu, hanya satu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Selangor, telah meronda beting tersebut daripada 22 Januari hingga 29 Januari. Ketika itu, kapal tersebut beroperasi serapat 4 batu nautika daripada Zhongguo Haijing 3501, menunjukkan kemungkinan besar bahawa tujuannya adalah untuk memantau kehadiran CCG.
Dua bulan ini bukanlah luar biasa; bahkan konsisten dengan pusingan yang tetap kapal CCG di Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum yang dijejak kembali oleh CSIS dan C4ADS kepada Januari 2016. Jikalau CCG benar-benar telah meninggalkan kawasan tersebut sebelum Sidang Kemuncak ASEAN dan Asia Timur 2015, kelihatan bahawa kapal-kapal China ini telah kembali hampir serta-merta. Sejak itu, sekurang-kurangnya 11 kapal-kapal CCG telah meronda beting itu. Kebanyakan daripadanya adalah daripada kelas-Shucha II China, yang memiliki sesaran sebanyak 3,980 tan—lebih daripada dua kali ganda kapal peronda pesisir pantai kelas-Kedah baru Malaysia, termasuk KD Selangor. Bahkan kapal CCG yang paling kecil yang meronda Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum, iaitu kelas-Shuwu, adalah secara kasar sama dengan kelas-Kedah dari segi sesaran. Kapal yang terbesar, seberat 5,000 tan, adalah kapal kelas-Shuoshi II, termasuk Zhongguo Haijing 3501. Kapal tersebut melebihi berat KD Selangor hampir tiga nisbah satu apabila beroperasi hanya beberapa batu dari jaraknya pada akhir bulan Januari.