Dua pertikaian yang berkaitan antara Jepun dan Cina di Laut China Timur bangkit semula pada awal bulan Ogos. Antara 5 dan 9 Ogos, lebih 200 kapal nelayan China memasuki perairan di sekitar Kepulauan Senkaku (dipanggil Diaoyu di China), diiringi oleh kapal Pengawal Pantai China. Pada minggu yang sama juga, kementerian luar negara Jepun menuduh China mengaturkan sistem radar di salah satu daripada platform minyaknya di Laut China Timur. Jepun melihat platform-platform ini sebagai pelanggaran semangat perjanjian 2008 mengenai penerokaan sumber bersama berdekatan pentas dunia kedua-dua negara itu.
Dua peristiwa tersebut menyerlahkan bagaimana kedua-dua pertikaian itu—terhadap hak kawasan dan dasar laut di Laut China Timur—telah sama-sama menjadi semakin buruk dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Senkaku Flotilla
Lebih daripada 200 kapal nelayan China dan tujuh kapal Pengawal Pantai China telah berhimpun berhampiran dengan Kepulauan Senkaku dari 5 hingga 9 Ogos. Kapal-kapal China itu berulang-kali melalui dan melepasi zon berdampingan dan perairan wilayah kepulauan tersebut pada hujung minggu, meskipun mendapat amaran daripada Pengawal Pantai Jepun dan bantahan dari Tokyo.
Pemantauan China dalam kawasan zon berdampingan dan laut wilayah Senkaku telah menjadi peristiwa biasa sejak tahun 2012, tetapi banyak aktviti pada bulan Ogos menandakan perubahan yang lebih serius. Lebih banyak kapal kerajaan China yang memasuki zon berdampingan pada bulan Ogos berbanding tempoh masa yang lalu. Dan lebih banyak kapal Pengawal Pantai China yang memasuki laut wilayah dalam masa hanya lima hari, dari 5 hingga 9 Ogos, berbanding mana-mana bulan dalam hampir tiga tahun lepas.
Tidak jelas sama ada kapal kerajaan China telah melakukan tindakan itu bersama-sama dengan bot nelayan peribadi atau hanya mengambil peluang yang sebelum ini dihalang oleh flotila nelayan. Tetapi, apa-apapun, kejadian tersebut menandakan satu cabaran kepada status quo yang tidak selesa di sekitar Senkaku.
Pertikaian Medan Gas
Pada hujung minggu yang sama, kementerian luar negara Jepun menuduh China memasang sistem radar pada platform penggerudian di Laut China Timur, berdekatan dengan garisan median antara Jepun dan China. Tokyo sebelum ini telah memasukkan platform itu dalam satu kenyataan Jun 2015 mengenai 16 pelantar China yang operasinya dikatakan telah melanggar semangat persetujuan dua hala tahun 2008 untuk mencapai pembangunan bersama di Laut China Timur.
Jepun mendakwa bahawa sempadan maritim di Laut China Timur sepatutnya adalah garisan median di antara sempadan wilayah China dan Jepun (seperti yang ditentukan oleh Tokyo). China menolak garisan median Jepun dan, dengan ketiadaan persetujuan yang dicapai bagi sempadan itu, menuntut zon ekonomi dan pentas dunia 200 batu nautika secara eksklusif (yang kedua dilanjutkan lebih jauh di bahagian Laut China Timur pada tahun 2012). Mengikut perjanjian 2008 tersebut, Tokyo dan Beijing bersetuju untuk membangunkan bersama-sama kawasan yang bertindih pada garisan median, dan untuk memberi peluang kepada syarikat-syarikat Jepun untuk bekerjasama dalam pengekstrakan minyak dan gas di garisan bahagian China, khususnya dalam medan gas Shirakaba/Chunxiao.
Tokyo dan Beijing mengadakan perbincangan pada tahun berikutnya untuk melaksanakan perjanjian 2008 tersebut, tetapi usaha tersebut hambar pada tahun 2010, akibat ketegangan baru berikutan penangkapan nelayan China oleh Pengawal Pantai Jepun di laut wilayah persekitaran Senkaku yang mencetuskan krisis diplomatik. Ketegangan semakin meruncing pada tahun 2012, apabila Jepun memiliknegarakan tiga daripada pulau tersebut dan China mula mengadakan rondaan tetap di perairan di kawasan mereka. Dengan perjanjian 2008 dipendamkan bagi masa depan yang boleh diramal, China menjalankan tinjauan minyak dan gas baru di Laut China Timur, dengan penggerudian rig mudah alih di kawasan tersebut pada tahun 2013 (imej di bawah).
(Klik pada rig minyak untuk melihat foto satelit dan dari udara.)
Dari pertengahan tahun 2013 hingga 2015, China membina platform penggerudian baru di garisan media di bahagiannya. Tidak satu daripada platform-platform tersebut tergolong dalam zon pembangunan bersama yang dipersetujui, tetapi Tokyo mempertikaikan bahawa China telah melanggar semangat perjanjian itu memandangkan hanya China telah mengekstrak minyak dan gas secara satu pihak, termasuk di medan Shirakaba/Chunxiao. Pada 12 Oktober 2016, kementerian luar negara Jepun membantah kepada China bukti nyalaan yang menunjukkan penggerudian di dua platformnya, menandakan bilangan pelantar yang beroperasi sekurang-kurangnya 12 buah. Jurucakap kementerian luar negara China Geng Shuang menolak aduan itu, dengan mengatakan bahawa aktiviti tersebut “adalah semata-mata dalam lingkungan hak dan bidang kuasa China.”
(Klik pada rig minyak untuk melihat foto satelit dan dari udara.)
Pegawai pertahanan Jepun mula membuat spekulasi pada tahun 2015 bahawa China mugkin membuat pengubahsuaian ketenteraan kepada pelantar-pelantar yang terletak di Laut China Timur. Jika tuduhan Tokyo tentang penetapan kedudukan sistem radar baru itu yang biasa ditemui pada kapal ronda dan tidak perlu untuk pembangunan medan gas adalah benar, ini bermaksud bahawa China akan mempunyai keupayaan kesedaran domain maritim yang lebih baik terhadap kawasan yang dipertikaikan. Platform yang dimaksudkan ialah yang ke-12 dibina sejak tahun 2013 dan terletak kira-kira 37 batu dari garisan median yang didakwa oleh Jepun.
Sama ada China berhasrat untuk menggunakan platform penggerudian Laut China Timur sebagai alat dwi-penggunaan awam-ketenteraan adalah tidak jelas, tetapi pembangunan perlu dipantau. Dan satu perkara adalah jelas–pertikaian ke atas Senkaku dan dasar laut ke arah utara bukanlah isu yang berasingan sepertimana yang dilihat. Ketegangan sesuatu perkara meleret kepada isu yang lain, meningkatkan keresahan dan mengehadkan keazaman politik untuk kompromi, seperti yang berlaku selepas perjanjian Sino-Jepun 2008.
(Lihat semua foto satelit dan dari udara di bawah.)