Pada tengah malam 9 Jun, kapal nelayan China Yuemaobinyu 42212 telah terlanggar dengan bot nelayan Filipina F/B Gem-Ver, yang telah melabuhkan sauhnya berdekatan dengan Tebing Reed di Laut China Selatan. Kapal China tersebut melarikan diri dari tempat kejadian, meninggalkan 22 nelayan Filipina dalam bahaya di dalam bot Gem-Ver yang sedang tenggelam sehingga mereka diselamatkan oleh sebuah bot Vietnam yang melalui kawasan tersebut. Tindakan Yuemaobinyu 42212 semasa dan selepas kejadian itu, digabungkan dengan maklumat yang sedikit tentang kapal itu sendiri, menimbulkan persoalan sama ada kapal itu adalah milik militia maritim China yang beroperasi merentas Laut China Selatan. Maklumat yang tersedia kepada umum tentang kapal tersebut tidak cukup untuk mendapatkan jawapan yang muktamad. Tetapi data yang dikumpulkan oleh AMTI dan Pusat Kajian Pertahanan Lanjutan (C4ADS) jelas menunjukkan bahawa 42212 adalah lebih daripada bot nelayan biasa.
Yuemaobinyu 42212 pertama kali dikenal pasti oleh kedutaan China di Manila, yang telah mengeluarkan nama kapal nelayan tersebut pada 15 Jun dan menyatakan bahawa ia merupakan sebuah kapal pukat jerut dari Wilayah Guangdong. Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina kemudiannya telah menjejaki sejarah Sistem Pengecaman Automatik (AIS) 42212 dalam SeaVision, sebuah platform kesedaran domain maritim yang dihoskan oleh Jabatan Pengangkutan A.S. Biro tersebut memaklumkan maklumat terhad yang diperoleh dengan ABC-CBN News pada 19 Jun. Data awal yang diperoleh dari penerima AIS pantai di China menunjukkan kapal tersebut berada di pelabuhan Bohe di Bandar Maoming, Guangdong dari 14 hingga 26 April. Isyarat AIS tersebut hilang hanya beberapa batu dari pantai pada 26 April, menuju ke selatan, dan tidak kelihatan lagi sehingga 13 Jun apabila kapal itu memasuki semula Pelabuhan Bohe. Kapal 42212 itu mustahil untuk dijejaki antara tarikh ini, termasuk pada malam kapal itu berlanggar dengan Gem-Ver, kerana AISnya tidak pernah diterima oleh mana-mana penerima pantai atau satelit lain ketika waktu itu.
Apabila kapal “bergelap,” seperti mana yang dilakukan Yuemaobinyu 42212 selepas meninggalkan pelabuhan pada 26 April, ia menunjukkan bahawa operator kapal itu mungkin telah mematikan transponder mereka untuk mengelakkan daripada dikesan. Ini menjadikan isyarat AIS yang tidak dikesan itu sebagai petunjuk penting apabila menjejaki aktiviti haram. Walau bagaimanapun, terdapat banyak sebab lain untuk sesebuah kapal “bergelap”, termasuk jika isyarat AISnya terlalu lemah, yang kelihatan menjadi sebahagian daripada sebab dalam situasi ini. Menurut platform penjejak AIS komersial MarineTraffic, Yuemaobinyu 42212 mempunyai transponder AIS Kelas B. Transponder yang sedemikian seringkali tidak dapat berkomunikasi dengan penerima satelit; alat tersebut dibangunkan untuk kapal lebih kecil yang tidak melalui kawasan perairan antarabangsa dan tidak memenuhi keperluan Organisasi Maritim Antarabangsa. Ini mungkin menjelaskan mengapa kapal tersebut tidak dapat dijejaki semasa beroperasi jauh dari pantai antara 26 April dan 13 Jun.
Selepas pegawai Filipina mengemukakan kejadian itu dengan rakan sejawat China, Beijing bersetuju untuk melancarkan suatu siasatan. Manila juga telah menjalankan penyiasatannya sendiri. Pada 28 Ogos, Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Bandar China telah menghantar sepucuk surat kepada Kedutaan Filipina di China, yang mana sebahagiannya telah diterjemahkan dan dikeluarkan kepada umum oleh Jabatan Hal Ehwal Asing di Manila. Ditandatangani oleh Chen Shiqin, presiden Persatuan Insurans Bersama Perikanan Guangdong, surat itu telah memohon maaf atas pemilik Yuemaobinyu 42212 yang tidak dikenali yang dikatakan adalah ahli persatuan tersebut. Surat itu menekankan bahawa pemilik itu akan digalakkan agar membantu pihak Filipina untuk mempercepatkan tuntutan insuransnya bagi kerosakan yang dialami oleh Gem- Ver.
Jadi, adakah Yuemaobinyu 42212 itu benar-benar kapal nelayan komersial yang menjadi cemas selepas suatu pelanggaran terbuka di laut dan melarikan diri dari tempat kejadian itu? Atau adakah ketiadaan sejarah AIS kapal itu dan keadaan luar biasa bagi kejadian 9 Jun itu menunjukkan kaitannya dengan militia maritim rasmi China? CSIS dan C4ADS telah menyiasat dengan lebih mendalam ke atas maklumat sumber terbuka yang tersedia mengenai kapal itu dan pemiliknya.
Menurut dokumen yang dimuat naik ke laman web kerajaan bandar Maoming, Yuemaobinyu (粤茂滨渔) 42212 telah didaftarkan ke Pelabuhan Bohe (博贺港) di Bandar Maoming, Wilayah Guangdong (广东省茂名市). Liang Jin (梁进) disenaraikan sebagai pemilik atau pengendali kapal tersebut. Laman web itu tidak lagi tersedia, tetapi data daripadanya tentang 42212 masih boleh ditemui dalam data carian Google pada bulan Jun 2019.
Carian lanjut mendedahkan bahawa pada bulan Mei 2014, Liang Jin sedang mengendalikan satu kapal lain keluar dari Pelabuhan Bohe yang dipanggil Yuedianyu (粤电渔) 42212.
Terdapat kemungkinan bahawa ini ialah kapal yang sama. Pertama, kapal itu kelihatan dikendalikan dari lokasi yang sama. Huruf yang berbeza dalam dua nama itu merujuk kepada kawasan pentadbiran Bandar Maoming. “Dian” (电) di Yuedianyu ialah singkatan bagi Daerah Dianbai (电白区). “Maobin” (茂滨) di Yuemaobinyu ialah ringkasan bagi Kawasan Baru Maoming Binhai (茂名滨海新区), yang pada tahun 2012 telah ditubuhkan sebagai subbahagian baru bagi Daerah Dianbai yang mengandungi Pelabuhan Bohe.
Kedua, data sejarah AIS memberikan bukti bahawa kapal-kapal ini adalah satu dan sama. Mengikut pemancaran AIS Yuemaobinyu 42212, kapal itu berukuran 44 meter panjang dan 8 meter lebar. Data sejarah AIS yang didapatkan semula dari platform pengawasan kapal Fleetmon menunjukkan operator Yuedianyu 42212 telah melaporkan saiz yang serupa sebesar 50 meter kali 8 meter. Pengendali kapal bertanggungjawab sepenuhnya untuk memasukkan dimensi kapal ke dalam sistem AIS, yang seringkali menyebabkan ketidaktepatan. Fleetmon mencatatkan pemancaran AIS pertama dari Yuedianyu 42212 pada 24 Oktober 2015, dan terakhir pada 29 April 2018. Ini menunjukkan kapal tersebut berkemungkinan telah menukar namanya antara bulan Mei 2018 dan April 2019, ketika Yuemaobinyu 42212 melakukan pemancaran AIS pertama yang direkodkan.
Laporan umum China telah mengesahkan bahawa sebuah unit militia maritim telah ditubuhkan di Daerah Dianbai, menjadikannya munasabah bahawa kapal tersebut mungkin adalah sebahagian daripada militia itu. Unit tersebut beroperasi dari Pelabuhan Bohe, di mana Yuemaobinyu 42212 berada, dan di mana kapal nelayan dikerahkan untuk latihan kumpulan separa tentera sebagai persediaan untuk pertempuran maritim. Data sumber terbuka juga jelas mengaitkan 42212 kepada aktiviti-aktiviti negara. Pada masanya sebagai Yuedianyu 42212, kapal tersebut telah dikerah untuk penyelidikan perikanan yang disokong oleh kerajaan pada berbilang kali. Pada tahun 2012, para cendekiawan dari Shanghai Ocean University dan Guangdong Ocean University telah menyewanya untuk penyelidikan di kawasan perairan di luar Bandar Sansha di Pulau Woody di Kepulauan Paracel.
Dalam kejadian lain, kapal tersebut telah digunakan oleh para cendekiawan dari pelbagai institusi penyelidikan dan agensi kerajaan untuk menjalankan uji kaji penangkapan ikan tuna di Laut China Selatan, yang mana penemuannya telah dilaporkan dalam keluaran Ogos 2016 dalam jurnal South China Fisheries Science. Dua artikel ini memberikan beberapa maklumat lain tentang kapal tersebut, termasuk bahawa kapal itu telah dibina pada tahun 2012 dan dimensi tepatnya ialah 49.8 kali 7.8 meter.
Siaran AIS dari Yuedianyu 42212 menunjukkan Nombor Pengenalan Kapal Bergerak Maritim (MMSI) kapal itu ialah 412463659. MMSI sepatutnya adalah satu siri digit yang dikongsi secara digital melalui radio untuk mengenal pasti kapal secara unik. Nombor diberikan kepada kapal individu mengikut negara benderanya (semua nombor MMSI China bermula dengan 412, 413 atau 414). Tetapi, menurut Fleetmon, MMSI yang digunakan oleh Yuedianyu 42212 turut digunakan oleh kapal nelayan lain, Yueyangxi 82189, yang telah beroperasi dari Zhuhai sejak sekurang-kuranya bulan Ogos 2017. Kapal yang kelihatannya diubah namanya kepada Yuemaobinyu 42212 kini menggunakan MMSI yang berbeza, tetapi pertindihan selama berbulan-bulan lamanya ialah satu lagi titik data yang berkemungkinan membuktikan sejarah kapal tersebut.
Untuk mengulang semula data yang tersedia kepada umum: Yuemaobinyu 42212 beroperasi dari sebuah pelabuhan yang diketahui menempatkan sekumpulan unit militia maritim; ia kelihatan bahawa di bawah nama sebelumnya, kapal itu digunakan untuk penyelidikan yang disokong kerajaan pada sekurang-kurangnya dua (dan berkemungkinan lebih banyak lagi) kali; dan sejarah AISnya yang tidak lengkap adalah mencurigakan, meskipun mengambil kira bahawa kapal itu dilengkapi dengan transponder Kelas B yang lemah. Fakta-fakta ini tidak membuktikan bahawa 42212 adalah sebahagian daripada militia maritim itu. Walau bagaimanapun, keadaannya jelas menunjukkan bahawa kapal itu tidak beroperasi semata-mata sebagai kapal nelayan komersial, yang membangkitkan persoalan sama ada pelanggaran dengan Gem-Ver adalah disengajakan. Siasatan lanjut terhadap kejadian pada bulan Jun itu akan memerlukan fakta ini diambil kira dan menerokai beberapa isu di sebalik skop laporan ini, termasuk latar belakang Liang Jin, hubungan perniagaan dan mana-mana pemilik berfaedah 42212.
Dan di manakah Yuemaobinyu 42212 sekarang?
Laporan ABS-CBN menunjukkan bahawa kapal itu kelihatannya telah berhenti menyiarkan AIS sejurus selepas kapal itu kembali ke Pelabuhan Bohe pada 14 Jun. Pergerakannya selepas itu tidak diketahui sehingga 22 September apabila kapal itu menyiarkan AIS secara ringkas dari kawasan luar pelabuhan Shidao di Semenanjung Shandong. Isyarat itu hilang lagi ketika kapal itu singgah Laut Kuning sebelum dilihat semula sebentar pada 25 September di laut wilayah Korea Selatan di selatan Pulau Hongdo. Kapal itu mula menyiarkan lagi dari Shidao pada 12 Oktober dan terakhir dikesan sedang menuju ke arah tenggara pada 15 Oktober.