Dua kali dalam masa enam minggu yang lalu, kapal Pengawal Pantai China (CCG) yang sama telah mengganggu operasi minyak dan gas oleh jiran-jirannya di bahagian bertentangan dalam kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan. Sementara itu, sebuah kapal milik kerajaan China telah melakukan tinjauan seismik blok-blok minyak dan gas di luar pantai Vietnam. Ini merisikokan konfrontasi antara kontinjen CCG dan bot militia yang mengiringi kapal peninjau tersebut dan sekumpulan kapal Vietnam yang telah dikerahkan ke kawasan itu. Situasi ini turut mendedahkan dwistandard: Beijing kelihatan komited untuk menghalang sebarang aktiviti minyak dan gas unilateral baru oleh jiran-jirannya di dalam lingkungan “sembilan garis putus-putus,” yang menandakan tuntutannya di Laut China Selatan, meskipun ia menerokai dan mengeksploitasi hidrokarbon dalam kawasan perairan yang dipertikaikan.

 

 

Menjejaki Haijing 35111

Kapal CCG Haijing 35111 telah menghabiskan masanya pada lewat bulan Mei meronda kawasan perairan berdekatan dengan Gosong Luconia di luar pantai negeri Sarawak, Malaysia. Sementara di sana, ia telah cuba untuk menghalang operasi pelantar gerudi Sapura Esperanza, menurut laporan terdahulu yang tidak disahkan yang telah muncul di media sosial sebulan kemudian. Laporan ini diiringi oleh imej-imej 35111 berdekatan dengan pelantar tersebut. Siaran blog China seterusnya, yang kini telah ditanggalkan, menyokong laporan tersebut dan mendakwa bahawa terdapat juga kapal kedua, Haijing 46302, yang terlibat dengan operasi itu di sekitar Sapura Esperanza. Walaupun AMTI tidak dapat mengesahkan kehadiran 46302, berdasarkan data Sistem Pengenalpastian Automatik (AIS) yang tersedia kepada umum, yang mana kebanyakan kapal laut dengan keberatan melebihi 300 tan dikehendaki mengguna,  menunjukkan bahawa kapal 35111 tersebut telah terlibat dalam tingkah-laku menakut-nakutkan terhadap kapal-kapal.

Sejak tahun 2013, China telah mengekalkan kehadiran pengawal pantai berhampiran dengan Gosong Luconia. Kebanyakannya berada di bawah permukaan air ketika air pasang tetapi masih didakwa sebagai pulau oleh Beijing dan Taipei. Gosong itu terletak di pentas benua Malaysia, dikelilingi oleh simpanan minyak dan gas yang telah dimanfaatkan oleh Malaysia selama berdekad. Peronda China seringkali berpusat di Luconia Breakers (Hempasan Bentin), yang merupakan satu-satunya bahagian daripada gosong tersebut yang berkemungkinan mengandungi tanah. Hal itu kekal menjadi bahan pendebatan, tetapi jika benar, ini akan membawa makna bahawa Luconia Breakers (Hempasan Bentin) menjanakan laut wilayah 12 batu nautikanya sendiri.

Dari 10 Mei hingga 27 Mei, siaran AIS oleh Haijing 35111 menunjukkan bahawa kapal tersebut sedang sibuk meronda kawasan di sekitar Luconia Breakers (Hempasan Bentin), termasuk sebahagian dari blok minyak dan gas SK 308. Blok tersebut telah diberi lesen kepada Sarawak Shell, syarikat subsidiari Royal Dutch Shell. Sapura Drilling baru-baru ini berkata bahawa syarikatnya telah memenangi kontrak bagi pelantar Sapura Esperanza untuk menggerudi beberapa telaga baru di lapangan gas asli F14, salah satu daripada tiga lapangan yang dibangunkan oleh Sarawak Shell di blok SK 308.

Isyarat AIS juga menunjukkan bahawa dua buah kapal bekalan luar persisiran Malaysia, Executive Excellence dan Executive Courage, telah menghabiskan sepanjang bulan Mei berulang-alik antara blok SK 308 dan pantai Sarawak, kelihatannya menyenggarakan Sapura Esperanza. Pada 21 Mei, kapal Haijing 35111 telah mengelilingi rapat secara provokatif dengan kapal-kapal tersebut, menghampiri dalam lingkungan 80 meter. Data ini menyokong laporan media sosial berkenaan gangguan kapal 35111 terhadap Sapura Ezperanza dan menunjukkan bahawa kapal CCG tersebut telah terlibat dalam tingkah-laku menakut-nakutkan terhadap kapal-kapal yang menyelenggara pelantar tersebut dalam cara yang boleh menghalang operasi penggerudian.

Haijing 35111 Memilih Sasaran Baru

Pada hujung bulan Mei, kapal Haijing 35111 telah kembali ke pelabuhan di Hainan selama beberapa hari sebelum menuju ke arah selatan sekali lagi. Sejak 16 Jun, kapal ini telah meronda suatu kawasan dasar laut yang terletak lebih kurang 190 batu nautika dari luar pantai tenggara Vietnam. Rondaan tersebut berpusat di blok minyak dan gas 06-01, yang terletak di barat laut Tebing Vanguard di pentas benua Vietnam. Ia terletak 172 batu nautika dari ciri air pasang berdekatan yang dipertikaikan, Pulau Spratly, dan termasuk dalam lingkungan garis putus-putus sembilan China.

Blok ini penting kepada projek Nam Con Son, yang dibangunkan oleh BP dan ConocoPhillips pada awal tahun 2000an untuk membawa gas melalui saluran paip ke tanah besar. Pada hari ini, gas asli dari lapangan Lan Do Blok 06-01 menyediakan sehingga 10 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga Vietnam. Rosneft Rusia telah mengambil alih sebagai operator blok tersebut pada tahun 2013 apabila syarikat ini memperoleh TNK-BP. Pada bulan Mei 2018, Rosneft telah mengikat kontrak dengan Hakuryu-5, sebuah pelantar boleh separuh  tenggelam yang dimiliki oleh Japan Drilling Company, untuk menggerudi sebuah telaga pengeluaran baru dalam 06-01 di lapangan gas kedua yang dipanggil Lan Do.

Sebagai respons, Kementerian Hal-Ehwal Asing China telah memberi amaran bahawa “tiada negara, organisasi, syarikat atau individu boleh, tanpa kebenaran kerajaan China, melakukan aktiviti penerokaan dan eksploitasi minyak dan gas di perairan bawah bidang kuasa China. Kami menggesa pihak-pihak yang berkenaan untuk menghormati hak-hak kedaulatan dan bidang kuasa China dan tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan hubungan bilateral dan keamanan dan kestabilan serantau.” Ini berikutan dua insiden pada bulan Julai 2017 dan Mac 2018 yang mana ancaman China telah memaksa Vietnam untuk membatalkan kerja penggerudian Repsol Sepanyol di blok minyak dan gas berdekatan.

Jelas tidak terhalang, Rosneft meneruskan dengan penggerudian di Lan Do dan lapangan lain, Phong Lan Dai, di Blok 06-01. Pada bulan Mei 2019, Rosneft telah mengikat kontrak dengan Hakuryu-5 untuk menggerudi telaga lain di 06-01. Imejan satelit di atas mengesahkan bahawa pelantar tersebut berada di tapak pada 18 Mei.

Isyarat AIS menunjukkan bahawa dua buah kapal bekalan luar pesisir Vietnam, Sea Meadow 29 dan Crest Argus 5, telah berlayar di antara Vung Tau di pantai Vietnam dan Blok 06-01 dengan kerap sejak bulan Mei untuk menyelenggara Hakuryu-5. Menggunakan taktik yang sama yang dikerahkan di sekitar Sapura Esperanza, Haijing 35111 telah beroperasi dalam cara yang mengancam berdekatan kapal-kapal ini dalam usaha yang jelas untuk menakut-nakutkan mereka. Sebagai contoh, pada 2 Julai, kapal tersebut sedang meninggalkan Hakuryu-5 apabila kapal 35111 telah mengemudi di antara mereka pada kelajuan yang tinggi, melepasi dalam lingkungan 100 meter dari setiap kapal dan kurang daripada separuh batu nautika dari pelantar tersebut.

35111 terus beroperasi di sekitar Hakuryu-5, yang dilaporkan berada dalam sebuah kontrak sepanjang 60 hingga 90 hari. Ini menunjukkan bahawa China belum lagi mencapai matlamatnya dan penggerudian tersebut diteruskan, walaupun sama ada operasi itu telah tergendala adalah tidak diketahui. Episod ini juga mendedahkan nilai kepulauan buatan Beijing kepada taktik “gray zone”-nya di Laut China Selatan. Selepas meronda Blok 06-01 selama hampir sebulan, kapal 35111 telah berlayar ke pangkalan China di Terumbu Fiery Cross dari 12 hingga 14 Julai, barangkali untuk pembekalan semula, sebelum kembali ke kedudukan asalnya berdekatan Hakuryu-5.

China Meningkatkan Taruhannya

Pada 3 Julai, Haiyang Dizhi 8, sebuah kapal peninjau yang dimiliki oleh Peninjau Geologi China milik kerajaan, mula meninjau suatu kawasan dasar laut yang besar di timur laut  Blok 06-01. Aktivitinya telah dijejaki dalam masa hampir nyata oleh Ryan Martinson dari U.S. Naval War College dan lain-lain di media sosial.

Haiyang Dizhi 8 sedang menjalankan tinjauan minyak dan gas merentas dua blok, Riji 03 dan Riji 27. China mengisytiharkan blok ini dan tujuh lagi blok di luar persisiran Vietnam sebagai terbuka untuk pembidaan asing pada tahun 2012, walaupun, tiada yang membuat pembidaan. Pengaturan masa tinjauan itu mungkin secara kebetulan, tetapi kelihatannya ia berkemungkinan untuk menghukum Vietnam kerana membenarkan penggerudian Rosneft di Blok 06-01. Apa-apapun, tinjauan tersebut adalah sangat provokatif. Dua blok tersebut terletak di dalam lingkungan 200 batu nautika dari Vietnam. Tinjauan ini dijalankan sehingga 180 batu nautika dari ciri air pasang berdekatan yang dipertikaikan, Pulau Spratly. Blok tersebut juga terletak di utara platfom DK-1 yang terasing dan sangat terdedah kepada bahaya yang diduduki oleh Vietnam di pentas benuanya di barat daya Kepulauan Spratly.

China telah memastikan kapal peninjaunya cukup dilindungi. Sekurang-kurangnya empat kapal pengawal pantai telah mengiringinya semasa tinjauan itu. Haijing 37111 dan dua kapal CCG yang tidak dikenal pasti telah mengiringi Haiyang Dizhi 8 sejak bulan Julai 3. Kapal Haijing 3901 seberat 12,000 tan, salah sebuah kapal penguatkuasaan undang-undang terbesar dunia, juga berada di kawasan kejadian tetapi hanya menghantar data AIS pada 6 dan 10 Julai. Sekurang-kurangnya sebuah kapal militia maritim yang dikenali, Qiong Sansha Yu 00114, turut menyertai iringan tersebut, menghantar isyarat AIS dari kawasan tersebut pada 13 Julai.

 

Vietnam telah memberi respons kepada tinjauan tersebut dengan menghantar kapal-kapal penguatkuasaan undang-undangnya sendiri untuk mengekori Haiyang Dizhi 8. Sekurang-kurangnya dua, KN 468 dan KN 472, telah meninggalkan Teluk Cam Ranh dan telah mengikuti kapal tinjauan tersebut sejak 4 Julai. Data AIS menunjukkan bahawa kapal tinjauan tersebut terus beroperasi, dikelilingi oleh iringan CCGnya sendiri yang mengalahkan kapal-kapal Vietnam yang cuba untuk campur tangan.

Situasi di kedua-dua Blok 06-01 dan di sekitar kawasan tinjauan minyak dan gas yang sedang dijalankan China adalah tidak stabil dan berbahaya. Memandangkan kedudukan yang berdekatan dan tingkah laku bersifat provokatif yang ditunjukkan, terdapat risiko yang jelas yang mana suatu pelanggaran yang tidak sengaja boleh membawa kepada keadaan yang bertambah buruk. Pada masa yang sama, tekanan semakin meningkat untuk kedua-dua belah pihak untuk memaklumi dan menangani isu apabila lebih maklumat dibocorkan kepada orang awam. Pengerusi Perhimpunan Nasional Vietnam, Nguyen Thi Kim Ngan, telah melawati China dari 8 hingga 12 Julai, yang memberikan insentif kepada kedua-dua Hanoi dan Beijing untuk menghentikan krisis yang bergolak. Namun itu sedang berubah, dengan Kementerian Hal-Ehwal Asing di Hanoi mengeluarkan responsnya yang pertama, walaupun tidak jelas, terhadap persoalan mengenai situasi pada 16 Julai, yang mengulangi hak kedaulatan Vietnam ke atas perairan dan dasar lautnya dan menyatakan bahawa pihak berkuasa Vietnam sedang melaksanakan hak-hak tersebut.

Tidak mengira bagaimana insiden-insiden ini berkembang, tindakan China di luar pantai Malaysia dan Vietnam sejak bulan Mei menunjukkan bahawa Beijing semakin rela menggunakan paksaan dan ancaman kuasa untuk menghalang operasi minyak dan gas oleh jiran-jirannya, sementara meneruskan penerokaan tenaganya sendiri di perairan yang dipertikaikan.